Isnin, 30 November 2009

Utusan-Maybank lancar tabung bantu mangsa

Utusan-Maybank lancar tabung bantu mangsa
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Utusan Malaysia dan bank terbesar di negara ini, Malayan Banking Bhd. (Maybank) menggerakkan usaha membantu mangsa-mangsa gempa bumi di pulau Sumatera dengan menubuhkan Tabung Gempa Bumi Nusantara Utusan-Maybank.

Tabung itu dilancarkan hari ini bertujuan meringankan penderitaan mangsa gempa bumi di kepulauan tersebut yang kini menjalani ibadah puasa dalam keadaan yang menyedihkan dan serba kekurangan.

Dengan menggerakkan tabung itu, akhbar Utusan Malaysia dan Maybank berharap orang ramai di negara ini dapat membantu meringankan beban mangsa gempa bumi terlibat menjelang hari lebaran.


Bagi umat Islam, Ramadan ialah bulan untuk meningkatkan ibadat dan kemurahan hati bagi membantu orang lain yang berada dalam kesusahan. Sumbangan kepada tabung itu dapat membantu mangsa-mangsa bencana alam di Sumatera untuk menghadapi dugaan hidup selepas gempa bumi.

Ekoran bencana alam yang berlaku kelmarin, ramai penduduk bandar dan kampung di pulau Indonesia itu kehilangan segala-galanya daripada harta benda, tempat tinggal hinggalah sanak saudara.

Dalam kejadian gempa di Bengkulu, Sumatera kelmarin yang disusuli berpuluh-puluh gegaran kecil yang masih berterusan sehingga hari ini, banyak infrastruktur di sana rosak termasuk jalan raya, sekolah, surau, masjid dan rumah penduduk.

Orang ramai yang ingin menghulurkan derma kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank boleh menyumbang secara tunai atau cek atas nama ‘Tabung Gempa Bumi Nusantara Utusan-Maybank' dan mendepositkan sumbangan itu ke dalam akaun Maybank 514011 000 551 di semua cawangan Maybank di seluruh negara.

Mereka juga boleh mengutip derma di kalangan ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan di pejabat, surau dan masjid sebelum memasukkannya ke dalam akaun Maybank itu.

Cek-cek sumbangan juga boleh diserahkan kepada semua wakil Utusan Malaysia di pejabat-pejabat Utusan di seluruh negara atau mengirimkannya ke Utusan Melayu (M) Berhad, 46M, Jalan Chan Sow Lin, 55200, Kuala Lumpur.

Para penyumbang boleh menghubungi Utusan Malaysia di talian 03-9221 7055 untuk keterangan lanjut mengenai tabung berkenaan.


*
Cara menderma melalui perkhidmatan SMS



KUALA LUMPUR 19 Sept. - Orang ramai yang berhasrat menderma kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank kini boleh berbuat demikian menggunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) mulai esok.

Mereka hanya perlu menaip GEMPA 5 untuk menderma sebanyak RM5 atau GEMPA 10 untuk menderma sebanyak RM10 dan dihantar ke 33833.

Ketua Pegawai Operasi Perfisio Solutions Sdn. Bhd., Fareed Abdul Ghani berkata, para pengguna perlu menaip jumlah amaun yang akan didermakan, sebagai contoh, GEMPA 5 atau GEMPA 10 sebelum dihantar ke 33833.


"Keterangan lanjut mengenai perkhidmatan SMS itu boleh diperolehi menerusi laman web Utusan Online iaitu, www.utusan.com.my.

"Perkhidmatan ini adalah percuma kepada pelanggan mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia kerana hanya amaun yang didermakan akan ditolak daripada bil telefon individu berkenaan,” katanya.

Maklumat mengenai perkhidmatan itu juga akan dimasukkan ke laman web www.tutor.com.my, www.kareer.com.my, www.manggatv.com, www.manggaonline.com.my.

Selain itu, orang ramai juga boleh menderma melalui akaun Maybank 514011-000-551 atau dibuat secara atas talian melalui laman web www.maybank2u.com.my.

Sumbangan juga boleh dibuat di mana-mana kaunter cawangan Maybank, mesin deposit tunai, mesin deposit cek atau melalui pindahan dana kepada pihak ketiga di mesin tele automatik (ATM) Maybank di seluruh negara.

Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank dilancarkan 14 September lalu bagi membantu mangsa gempa bumi di Sumatera, Indonesia.

Gempa bumi berukuran 8.2 skala Richter yang melanda Bengkulu, selatan Sumatera pada Rabu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 23 nyawa manakala 88 lagi cedera dan tidak mustahil angka itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan