Khamis, 8 Mac 2012

Cek Derma Sebesar Pintu

Cek Derma Sebesar Pintu


Satu masa lalu ketika saya sedang berjinak-jinak dengan ilmu agama, agak kerap saya mendengar para penceramah mengkritik individu, pertubuhan atau syarikat yang memberikan derma. Ini kerana derma tersebut lazimnya mereka beri dalam bentuk cek sebesar pintu dan ditayangkan kepada media cetak dan elektronik.

“Nampak sangat tak ikhlas, apabila menderma ditunjuk-tunjukkan kepada media” ulas seorang penceramah.

“Nak menunjuk cek sebesar pintu, bukan lakupun! Cuba bawa cek itu ke bank, pasti ditolak. Yang diterima ialah cek yang kecil, yang boleh disembunyikan” kritik seorang penceramah lain. Saya mengangguk-angguk jahil. Sejak itu saya mula berburuk sangka kepada sesiapa yang menderma dengan liputan media.

Namun, alhamdulillah, saya tidak mencukupkan diri saya dengan ilmu yang diterima melalui para penceramah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengurniakan saya dorongan dan keyakinan untuk mengkaji sendiri sekalipun dengan hanya membaca berseorangan. Ketika membaca ayat 271 surah al-Baqarah, saya menemui firman Allah:

Kalau kamu menampakkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan), maka yang demikian adalah baik (kerana dapat menjadi contoh). Dan kalau kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Baqarah 2:271]



Tidak cukup dengan hanya membaca terjemahan, saya semak pula apa tafsirannya. Saya temui kata-kata Imam Ibn Katsir rahimahullah terhadap ayat di atas:

Di dalamnya terdapat petunjuk bahawa sedekah secara tersembunyi adalah lebih utama daripada sedekah secara terang-terangan kerana ia dapat menjauhkan daripada sifat riya’. Pengecualian jika suasana mengarah seseorang untuk menampakkan sedekahnya kerana sesuatu kemaslahatan yang penting, agar orang ramai mengikuti tindakannya. Maka dalam suasana seperti ini menampakkannya adalah lebih utama.[1]



Mudah kata, sedekah atau derma dibolehkan secara tersembunyi atau terang-terangan. Secara tersembunyi lebih baik, kecuali jika penderma ingin tindakannya menjadi motivasi kepada orang lain agar turut menderma, maka atas tujuan ini adalah baik untuk “menunjukkan” dermanya. Kemudian saya dapati menderma secara terang-terangan atau “menunjuk” memiliki contoh dalam al-Sunnah, iaitu berdasarkan hadis berikut:



عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: جَاءَ نَاسٌ مِنَ الأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.



عَلَيْهِمُ الصُّوفُ. فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ. قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ. فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ.



فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ. قَالَ: ثُمَّ إِنَّ رَجُلاً مِنَ لأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ.



ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ.



فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا



بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ.



وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا



وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.



Daripada Jarir bin ‘Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka, mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda.

(Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda. (Melihat yang sedemikian) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.”[2]



Dalam hadis di atas, yang seterusnya saya sebut sebagai “hadis Sunnah Hasanah”, seorang lelaki Ansar telah menderma secara terang-terangan atau “menunjuk”. Sungguhpun begitu, tindakannya memberi motivasi untuk orang-orang lain turut menderma sehingga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memujinya dengan ganjaran pahala. Pahala bukan sahaja atas amalan dermanya bersedekah tetapi atas amalan derma orang-orang lain. Ini kerana dialah yang menjadi sumber motivasi untuk orang-orang lain menderma.

Maka berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis di atas, saya tidak lagi berburuk sangka kepada sesiapa yang menderma sambil diliputi oleh media. Saya berbaik sangka bahawa mereka menderma secara ikhlas dan inginkan amalan derma mereka menjadi sumber motivasi kepada individu, pertubuhan atau syarikat lain untuk turut menderma. Lebih dari itu, bukankah sifat ikhlas atau menunjuk letaknya di dalam hati? Maka bagaimana mungkin saya atau para penceramah itu membaca hati seseorang dan mengetahui dia tidak ikhlas menderma?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan