Jumaat, 9 Mac 2012

Celcom catat untung tertinggi

SYARIKAT telekomunikasi terkemuka tempatan, Celcom Axiata Berhad terus cemerlang apabila berjaya merekodkan keuntungan tertinggi dalam sejarah Celcom pada tahun lalu dengan pertumbuhan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) sebanyak 22.7 peratus mencecah RM1.9 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, 2010 adalah kejayaan berganda untuk Celcom menerusi pencapaian margin terbaik, pertumbuhan pantas dalam industri, meningkatkan penguasaan pasaran dan terus menerajui segmen jalur lebar mudah alih.


Katanya, pada tempoh yang sama Celcom juga berjaya mencatat rekod cemerlang keuntungan 19 suku berturut-turut mulai 2006.

“Di samping itu juga Celcom merekodkan perolehan sebelum cukai, faedah dan susut nilai (Ebitda) bertambah sebanyak RM3.1 bilion, manakala jumlah pelanggan aktif Celcom turut meningkat mencecah 11.2 juta pada akhir 2010.


“Kami terus mendominasi segmen jalur lebar mudah alih dengan hasil RM638 juta iaitu kenaikan 76 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dan menyumbang 9.6 peratus kepada jumlah pendapatan syarikat. Ia adalah pencapaian berganda berbanding syarikat telekomunikasi lain,” katanya pada pengumuman prestasi kewangan di Kuala Lumpur, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan